Alam  Melayu merupakan satu benua yang penuh dengan pelbagai sejarahnya yang tersendiri. Ia diduduki oleh masyarakat berbilang agama, bangsa, adat istiadat dan kebudayaan di antara lain ialah masyarakat Islam. Keadaan tersebut menjadikan bidang kajian berkaitan dengan Alam Melayu atau disebutkan sebagai Nusantara sangat mendapat tempat dan perhatian daripada penyelidik dari dalam dan luar negara. Penyelidikan tersebut bidang ini bukan sekadar bersifat eksklusif tetapi telah dibuka dan diterokai sehingga mencakupi pelbagai bidang penyelidikan yang lain. Dalam erti kata bahawa, pada hari ini dunia penyelidikan telah menjadi agenda penting kepada semua pihak dan negara dalam memastikan kelangsungan dan ketepatan dalam interaksi kehidupan manusia. Melalui penyelidikan, pelbagai perkara baharu yang dibina dan dihasilkan sehingga manfaat tersebut dapat diberikan terus untuk kesejahteraan masyarakat bersama.

Menyedari kepentingan dunia penyelidikan ini, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur mengorak langkah untuk menganjurkan Seminar ICON-IMAD VIII yang bertemakan “Memperkukuhkan Jaringan Peyelidikan Serantau Dalam Pengajian Islam” dengan anjuran bersama dari Pasca Sarjana UIN Sunan Gunung Djati, Bandung, Indonesia; Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University, Thailand, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam.

Penganjuran seminar yang berpaksikan penyelidikan ini amat bertepatan bagi mengangkat kedudukan Alam Melayu sebagai hub penyelidikan utama dalam kalangan sarjana Melayu sendiri yang diketengahkan ke mata dunia untuk perkongsian bersama. Pada masa yang sama memperkuatkan jaringan akademik dan penyelidikan semasa serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama dari pelbagai aspek khususnya dalam penyelidikan antara negara-negara.

Seminar kali ini adalah rentetan dari kejayaan penganjuran ICON-IMAD I yang diadakan di Bandung pada 19-22 November 2011, ICON-IMAD II yang diadakan di APIUM pada 2012, ICON-IMAD III yang diadakan di Bandung pada 2013, dan ICON-IMAD IV yang diadakan di Klana Beach Resort Port Dickson (Kompleks Baitul Hilal), Negeri Sembilan, Malaysia pada 19-21 September 2014; ICON-IMAD V yang diadakan di Prince of Songkla University, Pattani, Thailand pada 12-14 September 2015; ICON-IMAD VI yang diadakan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, UNISSA, Brunei pada 20-22 September 2016 dan terakhir ICON-IMAD VII diadakan di Sumber Alam Resort, Garut pada 18-21 September 2017.

Total Hits : 1089
Total Visits : 343