PENDAHULUAN

Kearifan lokal atau juga dikenali sebagai kearifan tempatan (local wisdom) merupakan satu elemen setempat dan sezaman yang menjadi perhatian dalam wacana hukum Islam. Jika diamati maksud kearifan lokal, ia mempunyai pelbagai dimensi seperti satu bentuk ilmu yang diwarisi secara turun-temurun, ia boleh ditafsirkan sebagai budaya sendiri (gaya hidup, pakaian, pergaulan, seni) atau dalam konteks yang lebih jelas ia dianggap sebagai  tradisi lama dan amalan masyarakat serantau, asli dan tempatan tertentu yang mana ia merangkumi ciri kebijaksanaan, pengetahuan dan ajaran sesuatu masyarakat. Ia merupakan satu pengetahuan, kebijaksanaan dan kepercayaan secara kumulatif. Justeru, dalam pembentukan hukum Islam telah menggariskan bahawa kebudayaan masyarakat merupakan salah satu perkara yang perlu diraikan. Hal ini menjadi lebih nyata apabila al-‘urf telah menjadi sumber pembentukan hukum Islam. Selain itu, wujud kaedah-kaedah yang dibentuk secara deduktif telah membuktikan kepentingan budaya dan kearifan setempat. Perbincangan lanjut mengenai kearifan lokal ini akan dapat direalisasikan dengan penganjuran seminar kearifan lokal dalam perkembangan fiqh di Alam Melayu. Ia juga merupakan legasi penyambung kepada siri-siri Seminar Hukum Islam Semasa sebelum ini yang menjadikan konsep fiqh Malaysia, fiqh setempat dan fiqh budaya sebagai asas utama perbincangan. Oleh itu, pemerkasaan dan kelestarian ilmu silam dapat diperkukuhkan dalam membangun masyarakat madani dan umat Islam di Alam Melayu khususnya.